Merdeka kah kita ini?
Bilamana saja orang mempersoalkan ertikata ‘kemerdekaan’ didalam pefahaman masing masing, ternyata ramai yang tidak pasti sebenarnya tentang hakikat bahawa jika di teliti dan diperhalusi makna sebenar ‘merdeka’, tidak ada sesiapa yang bebas berbuat ikut suka hati dibumi Allah ini!
Ramai tersalah faham bahawa merdekanya tanahair ini dari belenggu penjajah, maka manusia di bumi Tanah Melayu ini lepas bebas berlaku semahu kehendak dan hati masing masing.
Jauh panggang dari api. Bagaikan titisan embun disinar mentari, fahaman kemerdekaan itu akan berpelowap dan hilang dibakar kehangatan realiti.
Tidak ada yang benar benar merdeka dibumi, laut atau pun alam semesta ini.
Setiap sesuatu ciptaan Allah ini tertakluk kepada pertimbangan alami.
Hanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang sebenar benar merdeka melakukan apa sahaja kehendakNya!
Makhluk tertakluk kepada penentuan Allah dan sedikit ruang kebolehan merubah keadaan bagi diri masing masing dan lingkungan kuasa terhad yang dipinjamkan Allah kepada kita.
Jadi didalam menjelangnya ulangtahun sambutan Kemerdekaan Tanah Melayu dari kongkongan British selepas hampir lima ratus tahun dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris kembali, kini tanahair ini dikatakan bebas dan merdeka.
Apa kah erti kemerdekaan bagi kita warganegara tanahair ini bilamana kita dikongkong dan dijajah oleh sesama kita pulak?
Kebebasan bersuara semakin tersekat dek kerana semakin banyak perundangan digubal hari demi hari diatas alasan keselamatan negara.
Maka timbul lah polemik hari ini dimana warganegara semakin terikat, semakin digari, semakin disumbat mulut serta minda mereka didalam bentuk penjajahan bentuk baru oleh penguasa yang semakin tinggi membina pagar sekeliling mereka dan menambah kekebalan peribadi melalui akta itu dan ini sehingga hari ini penulis blog dan warga siber dituduh pelbagai macam dan diancam dengan tindakan dipasung tanpa bicara.
Sekali lagi kita perlu bertanya ‘ Merdeka kah kita ini?’
Ianya nampak seolah kita tidak mereka sebenarnya. Bezanya cuma pemenjara kita terdiri dari sesama bangsa, sesama seagama, sesama warganegara.
Ini yang dimusykilkan insan insan yang teringin bebas berkata, bersoal bicara sesama warga rakyat bumi bertuahyang kini seolah kembali kezaman penjajahan.
Penjajahan macam mana?
Penjajahan minda dan semangat jiwa serta hati yang terbelenggu dengan ancaman segala akta dan kata kata nesta serta limpahan pelbagai fitnah dan cacian sang pemerintah.
Inilah realiti tentang tidak tepatnya berkata bahawa kita semua sudah merdeka!
Rupa rupanya tidak. Masih ada yang mencari ruang untuk memenjara suara merdeka !
Hukuman nya adalah diam sepanjang masa. Jika engkar, bersedialah masuk sangkar.
Teringat rangkap rangkap lagu lama. Mata terlepas, badan terkurung. Begitu rupanya.
Malaysia ku …terpenjara di alam minda dan tidak bebas bersuara. Entahlah…..