Mencegah Pengulangan Zaman Jahiliyyah!
Assalamualaikum.
Dewasa ini masyarakat Melayu MuslimĀ di tanahair nampak seolah tidak peduli lagi dengan kelakuan maksiat dikalangan Umat Islam disini.
Anak muda Melayu rakus bebas bermaksiat sesuka hati mereka tanpa segan dan silu dan para ulamak dan orang orang alim seperti lemah menangani gejala ini.
Jabatan Agama Islam asyik terperangkap dengan hal ehwal pentadbiran dan tidak menumpukan perhatian kepada urusan Dakwah bil Hal dan penguatkuasaan undang undang Syariah seperti termaktub didalam kitab suci Al-Qur’an Al Karim.
Semuanya ini berbalik kepada sikap tidak ambil peduli oleh masyarakat sekarang kerana tidak ada sokongan dari pihak pemerintah dan kealpaan institusi Kesultanan Melayu.
Kenapa sampai jadi begini?
Hendak dikatakan negara ini belum merdeka, sudah masuk 50 tahun Tanah Melayu bebas dari cengkaman penjajah Barat!
Namun, hakikatnya Tanah Melayu yang bertukar gelaran ke Malaysia tetap terpenjara dengan gejolak hawa nafsu manusia yang bermuka muka dengan mendabik dada berlaku bebas sesuka hati meminggirkan tuntutan akidah dan berkelakuan seumpama kafir laknatullah dengan meniru gaya dan budaya yang jauh dari prinsip prinsip Islam dan adat resam turun temurun orang orang Melayu yang kaya dengan sopan santun dan tradisi lama.
Siapa harus dipersalahkan diatas barah kehidupan ini?
Rakyat atau Pemerintah? Mamak Bendahara atau Duli Tuanku?
Apakah dengan menuding jari pada seseorang itu akan dapat mengubati luka ; merubah keadaan kembali ke fitrah suci dan mulia sepertimana dianjurkan Ilahi?
Bolehkah manusia Melayu membiarkan kemungkaran berleluasa tanpa bangun mencantas, memisahkan masyarakat dari anasir anasir petualang bangsa dan agama?
Apakah sudah lenyap ditelan zaman semangat sang perwira menangkis serangan budaya dan minda melenyapkan khazanah adat dan kegemilangan keturunan orang orang Melayu dari zaman berzaman seumpama zaman Kesultanan Melayu Melaka?
Apakah budaya dan resam Melayu hanya layak berlabuh sauh, mengumpul debu dan sawang di muzium muzium negara?
Ingatlah wahai anak bangsa Melayu bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala pasti mengadili kita jika sekiranya kita alpa, membiarkan sang musuh durjana , masuk merungkai, mencabut jatidiri dari anak anak kita melalui pencemaran budaya dan adat resam kita secara halus dan umpama semut hitam berjalan di malam nan gelap gulita?
Sedar tak sedar, anak anak kita sudah jauh tertinggal dari mewarisi segala kekayaan bahasa, kesempurnaan budaya, kesucian agama dan khazanah lama adat resam kita.
Ayuh lah kita kembali kepada asas jatidiri kita dan kembali mengamalkan kesopanan dan kesusilaan Melayu yang kaya dan teramat tinggi nilainya! Insya Allah.